MEMULIH SAHSIAH PELAJAR


SABAN hari kita disajikan dengan laporan-laporan kes jenayah yang kebanyakan dilakukan oleh golongan remaja seperti meragut, merogol, membunuhdan lain-lain. 

Kisah-kisah yang menjadi tumpuan media cetak mahupun elektronik itu hanya sekadar menjadi bahan bacaan harian yang telah dianggap sebagai insiden biasa dalam masyarakat kita pada masa kini.

Siapakah yang wajar dipersalahkan?  Tidakkah kita prihatin melihat anak bangsa yang bakal menjadi generasi Negara diserang penyakit mental atau stres?

Dalam menangani isu membimbangkan ini, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil menggesa kerajaan mengambil serius dan telus dalam menangani masalah remaja terutama golongan pelajar sekolah yang semakin membimbangkan pada masa kini.

Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) serta Majlis Bekas-Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Wilayah Persekutuan berharap kerajaan menyelaraskan intipati pendidikan mengikut transformasi persekitaran.

Presiden PIBGN, Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, Peraturan-Peraturan Pendidikan (PersatuanIbubapa-Guru) 1998 yang termaktub di dalamAkta Pendidikan 1996 perlu dilihat semula dan diberi nafas baru.

"Kini pelbagai masalah melibatkan remaja seperti bunuh, dadah, merompak lebih banyak melibatkan golongan remaja yang bersekolah. Oleh itu kita kena lihat dengan lebih menyeluruh untuk member pendidikan secara holistic kepada anak-anak masa kini bermula dari akar umbi," katanya ketika di temui Kosmo! Selepas mempengerusikan mesyuarat bersama NGO yang terlibat di Memorial Tun Hussien Onn baru-baru ini.

Kekurangan Dana
Antara barisan panel yang membincangkan isu tersebut ialah Yang Dipertua Mubarak, Aziz Yassin, Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo, Setiausaha Mubarak, Prof. Datuk Seri Ibrahim Saad dan Panel Pemikir GPMS, DatukMohd. Ali Baharom. 

Merujuk kepada akta tersebut di bawah fasal 5 (1), dinyatakan tujuan-tujuan persatuan ialah untuk mengadakan sesuatu  forum dan perkhidmatan bagi kebajikan dan kemajuan murid-murid dalam sekolah dalam meningkatkan imej sekolah. Untuk tujuan itu kata Mohamad Ali lagi, PIBG perlu meminta sumbangan daripada ibubapa pelajar yang kadangkala diiringi dengan rungutan yang tidak enak didengar.

"PIBG berusaha untuk anjurkan aktiviti dan program untuk melibatkan ibubapa, guru serta pelajar untuk mewujudkan suasana yang sihat dan secara tidak langsung para pelajar khususnya golongan belia dapat menghabiskan masa dengan aktiviti yang berfaedah. Tetapi PIBG kesal kerana sumbangan dana yang tidak mencukupi menjadi kekangan kepada kami untuk terus melaksanakan tujuan asal pertubuhan ini diwujudkan," katanya.

Mohamad Ali turut mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan Jawatankuasa untuk mewujudkan Majlis Penasihat Pendidikan. 

"Apa yang kita lihat selalunya hanya ada penasihat dan pemerhati dalam bidang ekonomi sahaja, kenapa tidak wujudkan untuk bidang pendidikan pula? Sekarang ini, kita perlu lihat aspek pendidikan secara keseluruhan iaitu bermula daripada pra pendidikan sehingga keperingkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk mencari satu pendekatan baru untuk membentuk remaja melalui pendidikan yang berkesan," ujarnya.

Kaji Dasar Pendidikan
Tambah Mohamad Ali, dasar dan peraturan yang telah diwujudkan untuk pendidikan Negara perlu diteliti serta dikaji dengan lebih telus. Bukannya hanya melontarkan idea secara ad-hoc.

"Kita bukan mahu wujudkan agenda politik dalam pendidikan, tetapi mereka yang membuat peraturan perlu memikirkanbagaimana orang bawahan mahu melaksanakan dasar berkenaan. Kita ambil contoh Program Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), pelaksanaan dasar itu tidak menyeluruh, implikasinya ia menjadi beban kepada kita semua," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor, Mustafa Latif berkata, kerajaan sepatutnya memberi sokongan terhadap PIBG sekolah dalam membentuk sahsiah remaja dan bukannya hanya tertumpu kepada akademik sahaja.

"Kita lihat dengan pengiktirafan seperti Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), ia dilihat seperti memberi pengiktirafan terhadap guru besar dan pengetua sahaja dan ia hanya melibatkan sekolah-sekolah yang pelajarnya memang daripada kategori bijak. Bagi sekolah-sekolah panas yang sentiasa bermasalah, hanya PIBG yang bertungkus-lumus menyediakan pelbagai aktiviti kokurikulum untuk mengelakkan mereka terjebak dengan aktiviti tidak sihat di luar," katanya.

Tambah Mohammad Ali, kerajaan sepatutnya melihat bidang pendidikan sebagai satu bidang yang menyeluruh bukan sahaja melibatkan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi tetapi kesemua kementerian secara amnya.Panel Pemikir GPMS, Datuk Mohd. Ali Baharom yang juga Pegawai Khas Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Wilayah Persekutuan Malaysia berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan Malaysia untuk menganjurkan beberapa aktiviti yang melibatkan golongan belia.

"Bagi pemimpin-pemimpin parti politik tidak kira parti pemerintah ataupun parti pembangkang, keprihatinan dan respon yang positif amat di perlukan. Janganlah hanya berpolitik sahaja.Sebagai masyarakat majmuk, remaja dan belia-belia kita perlukan keprihatinan daripada kita untuk menghindarkan mereka daripada terjebak ke kancah yang tidak sihat ini," katanya.


Sumber : Farhana Hanim Mohd Mydin [rencana@kosmo.com.my] di Kosmo!


13 comments:

  1. pada pendapat saya, antara punca sahsiah pelajar semakin menurun adalah kerana kurangnya penerapan nilai-nilai agama dalam diri. walaupun di sekolah telah di ajar matapelajaran pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan sebagainya, tetapi, nilai-nilai tersebut tidak diaplikasikan di dalam kehidupan mereka. jadi, tiada pendinding yang dapat menghalang mereka dari melakukan kesalahan-kesalahan sosial seperti mencuri, pergaulan bebas, rempit dan lain-lain.

    ReplyDelete
  2. ibu bapa masa kini juga perlu lebih memberi perhatian kepada anak-anak dan mengambil tahu rakan-rakan anak-anak mereka. hal ini kerana, penerapan nilai-nilai murni dan pendidikan agama harus diajar dan diasuh sedari kecil oleh ibu bapa kepada anak-anak. jika ilmu agama cukup dibekalkan kepada anak-anak. insyaallah, anak-anak itu sendiri boleh menilai perkara yang baik dan tidak baik.

    ReplyDelete
  3. Pengetahuan agama sangat penting bagi menjamin kesejahteraan setiap insan.ini disebabkan tidak kira apa bangsa dan agama, setiap agama menyuruh kita melakukan kebaikan,melarang kita daripada melakukan kemungkaran.tiada agama yang menyuruh kita melakukan kemungkaran atau perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan pada diri dan juga masyarakat seterusnya alam.oleh itu, saya amat bersetuju, didikan agama itu sangat penting bagi memupuk nilai-nilai murni di dalam jiwa anak-anak.sekiranya ilmu agama yang dibekalkan itu cukup, insyaallah anak-anak tersebut boleh menilai sendiri setiap perkara yang bakal mereka lakukan.

    ReplyDelete
  4. bagaimana pula dengan pengaruh teknologi? teknologi seharusnya memberikan kebaikan kepada kita. tapi apabila disalahgunakan ianya mampu merosakkan akhlak dan sahsiah pelajar. seperti yang kita tahu, remaja mudah terpengaruh dengan apa yang dilihat dan didengar. penyalahgunaan teknologi seperti internet untuk mencari bahan-bahan lucah dan sebagainya menjadi faktor kepada keruntuhan sahsiah pelajar. jika ianya tidak dikawal dengan membuat pantauan, sahsiah pelajar kita akan semakin teruk.

    ReplyDelete
  5. media massa juga merupakan faktor yang menyebabkan punca kerosakan akhlak remaja.sekiranya perlu, kerajaan perlu memantau setiap rancangan atau siaran di televisyen.sekat rancangan yang berunsurkan keganasan dan seksual.lebihkan rancangan yang bercorakkan rencana, agama, budaya serta pelajaran.selain itu, majalah2 yang berunsurkan kebaratan yang memaparkan fesyen yang terlampau dan juga mengenai artis2 barat dan kehidupan seharian haruslah sentiasa dipantau. ibu bapa memainkan peranan penting dalam memantau setiap aktiviti anak2 agar tidak meniru budaya barat yang banyak menyumbang masalah kerosakan akhlak ini.

    ReplyDelete
  6. saya menyokong bahawa peranan media massa sememangnya menjadi faktor punca sahsiah pelajar sekolah semakin pudar. ini kerana pusat-pusat komputer semakin banyak pada masa kini dan harga handfon dan barangan teknologi juga semakin mampu dimiliki oleh pelajar. mereka akan mudah terpengaruh dengan bahan-bahan yang tidak elok dan tidak bersesuaian dengan etika dan budaya di Malaysia. akibatnya, nilai-nilai murni dan sahsiah yang baik akan hilang begitu sahaja.

    ReplyDelete
  7. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  8. Kejayaan akademik ialah kejayaan yang dinilai berdasarkan pencapaian seseorang dalam peperiksaan.
    Sahsiah pula bermakna peribadi atau personaliti. Ia merujuk kepada sifat yang mencirikan peribadi orang berkenaan. Peribadi menggambarkan sifat personaliti individu yang membezakannya daripada orang lain. Sifat sahsiah merangkumi gaya hidup, kepercayaan, harapan, nilai, motif, pemikiran, perasaan, budi pekerti, persepsi, tabiat, sikap dan watak seseorang.
    bagaimana kita mahu mengimbangkan kedua-dua aspek ini?
    penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum misalnya mampu mengelakkan pelajar dari terlibat dalam masalah keruntuhan akhlak..sukan, permainan, unit beruniform mahupun peratuan sebenarnya dapat menerapkan nilai-nilai yang positif dalam diri pelajar kita...

    ReplyDelete
  9. sememmangnya di sekolah telah pun menyediakan aktiviti-aktiviti seperti ini.namun, tidak semua pelajar yang mahu melibatkan diri dalam aktiviti sebegini sekiranya secara sukarela.adakah perlu sekiranya di wajibkan kesemua pelajar melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum ini?sebagai contoh, kelab agama Islam mewajibkan semua pelajar Islam untuk menyertai kem motivasi.

    ReplyDelete
  10. aktiviti-aktiviti kokurikulum sekolah ataupun aktiviti yang berfaedah perlulah dperbanyakkan oleh pihak sekolah bagi menangani isu ini. pihak sekolah boleh mewajibkan pelajar-pelajar untuk menyertai program yang dijalankan. ibu bapa juga haruslah memberi perhatian dan memainkan peranan terhadap akhlak anak-anak, supaya peribadi yang baik dapat dibentuk dengan sempurna.
    tanpa sokongan individu yang dipercayai dan rapat dengan pelajar, mungkin agak sukar bagi pelajar yang sudah terjerumus dalam keruntuhan akhlak ini kembali pulih, namun tiada sesuatu yang mustahil. tindakan yang rasional dan relevan haruslah dilakukan oleh semua yang terlibat bagi memastikan sahsiah dan kecemerlangan pelajar adalah seiring.

    ReplyDelete
  11. tujuan aktiviti kokurikulum adalah untuk memantapkan pengetahuan dan kemahiran murid dengan apa yang tidak diajarkan di dalam kelas. melalui aktiviti inilah nilai-nilai murni dapat diterapkan bukan sahaj dalam Kelab Pendidikan Islam atau Kelab Moral tetapi kelab-kelab yang lain juga..penerapan nilai murni adalah melalui aktiviti yang dijalankan.akademik juga boleh ditingkatkan dan tidak diabaikan

    ReplyDelete
  12. Kelab Bimbingan dan Kaunseling juga perlu aktif supaya pelajar-pelajar yang bermasalah ini mencari "dahan untuk berteduh" memandangkan mereka yang kerap melakukan masalah disiplin ini rata-ratanya mempunyai masalah dalaman seperti masalah keluarga, kewangan dan sebagainya. Kelab ini seharusnya memainkan peranan penting dalam meraih kepercayaan daripada pelajar-pelajar agar dapat menarik mereka supaya meluahkan segala permasalahan mereka dan mencari penyelesaian sebelum terlambat.Selain itu, Kelab ini juga boleh menganjurkan aktiviti-aktiviti atau program motivasi agar dapat meningkatkan lagi jati diri dan semangat untuk terus berjuang mengejar kejayaan.

    ReplyDelete
  13. isu ini dapat dibendung sekirannya semua pihak mengetahui peranan masing-masing. ibu bapa sebagai insan yang terdekat dengan anak-anak harus membimbing mereka dengan baik. guru di sekolah harus mengambil berat terhadap pelajar-pelajar yang dilihat cenderung melakukan masalah disiplin. pihak-pihak lain yang turut terlibat secara langsung atau tidak langsung harus memberi lebih banyak pendedahan yang positif kepada pelajar-pelajar sekolah.

    ReplyDelete

Powered by Blogger.

Copyright © / STYLISH.F3MININ3

Template by : Urang-kurai / powered by :blogger